SIBU, 12 Mei: Jalan Pahlawan di sini akan ditukar kepada nama baharu iaitu Jalan Robert Lau Hoi Chew pada Jun ini sebagai hasrat memperingati jasa bekas Ahli Parlimen Sibu, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting berkata keputusan itu akan diumumkan dalam satu mesyuarat penuh majlis pada 21 Mei ini sebelum pelaksanaannya.
“Cadangan pertukaran nama jalan itu (Jalan Pahlawan) kepada Jalan Robert Lau Hoi Chew telah sebulat suara diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak (MMKN) pada Februari lalu.
“Pertukaran itu termasuk lorong-lorong di Jalan Pahlawan juga akan ditukar kepada Jalan Robert Lau Hoi Chew mengikut nombor lorong masing-masing,” katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

Menurutnya kerja-kerja menukar papan tanda jalan di setiap Lorong Pahlawan akan menyusul selepas mesyuarat penuh majlis tersebut.
“Pihak kami telahpun memaklumkan kepada semua agensi berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei, SESCO dan Lembaga Air Sibu mengenai pertukaran nama jalan tersebut.
“Di samping itu, notis pindaan alamat rumah akan diajukan kepada sejumlah 333 pemilik rumah yang berada di kawasan jalan yang berkaitan,” katanya.
Menurut Claerence, pemilik juga disaran untuk menukar alamat mereka di sekarang boleh mula menukar alamat mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Katanya, pertukaran nama jalan itu adalah bertujuan untuk mengenang dan memperingati jasa mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.
“Beliau pergi meninggalkan kita terlalu awal. Beliau banyak jasa kepada Sibu.
Mendiang Datuk Robert Lau juga merupakan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal sejak 1990 hingga April 2010 serta pernah menjadi Pengerusi MPS dari 1999 hingga 2004.
Mendiang juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Mac 2004, selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dalam rombakan kecil kabinet pada April 2009.
Mendiang meninggal dunia ketika usia 68 tahun pada 9 April 2010 akibat kanser. -TVS