SIBU, 12 Mei: Dua remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dilapor hilang dibawa arus di Sungai Rajang berhampiran Wharf pekan Durin di sini pada Jumaat.
Insiden dikatakan berlaku ketika lima remaja sedang bersantai di lokasi kejadian apabila tiga daripada mereka bermandi-manda di tebing sungai sekitar jam 4 petang itu.
Berdasarkan maklumat awal, dua remaja terbabit dikenali sebagai Justin Siaw dan Kong Wei Seng masing-masing berusia 15 tahun manakala seorang lagi cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa nyaris lemas namun berjaya diselamatkan oleh kakaknya.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) Andy Alie berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian 5.34 petang.
Susulan itu, katanya lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibujaya bergegas ke lokasi kira-kira 25 kilometer dari balai.
“Pencarian awal pasukan mencari dan menyelamat bermula pada jam 6 petang dengan menggunakan perahu orang kampung.
“Pihak kami menggunakan kaedah ‘Water Surface Searching’ dan ‘Grapping Iron’ di sekitar lokasi kejadian namun keadaan cuaca gelap menyebabkan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 7.15 malam,”
Andy berkata, operasi pencarian akan disambung esok pagi. -TVS