KUCHING, 11 Mei: Usaha Kerajaan Sarawak memperkenalkan teknologi baharu berteraskan alga dijangka akan membawa limpahan ekonomi kepada wilayah ini.
Penganalisis Sosiopolitik di Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, industri baharu itu merupakan satu kejayaan yang penting kepada Sarawak dalam mencapai ekonomi hijau yang mampan.
“Ini merupakan satu bentuk ekonomi masa depan Sarawak yang akan menyediakan ribuan peluang pekerjaan dan tenaga mahir dalam bidang berkaitan malah dalam konteks industri hiliran yang berkaitan,” katanya kepada TVS.
Beliau mengulas kejayaan Sarawak membangunkan loji jana kuasa alga terbesar di dunia di Sijangkat dengan kerjasama syarikat Jepun, Chitose Carbon Capture Central.
Loji itu mampu mengeluarkan 45 tan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk kegunaan pesawat di seluruh dunia.
Sementara itu, Awang Azman berkata, kepesatan industri baharu itu juga memangkin perniagaan yang lebih meluas selain dapat meningkatkan kemudahan pengangkutan di kawasan industri.
Katanya, industri yang jarang diterokai oleh negeri-negeri lain di Malaysia itu akan meletakan Sarawak berada di hadapan ke arah menjadi negeri maju menjelang 2030. -TVS