PHNOM PENH, 11 Mei: Atlet terjun negara, Kimberly Bong tidak pernah menjangka akan berjaya menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada Sukan SEA Kemboja 2023 bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita.
Kejayaan pasukan terjun negara yang tidak putus meraih kemenangan pada kejohanan sebelum ini adalah penyuntik semangat kepada anak Sarawak itu untuk beraksi dengan terbaik.
“Sejujurnya, saya hanya berharap untuk (dapat) melakukan yang terbaik. Ia merupakan keputusan yang tidak disangkakan.
“Setiap musim Sukan SEA, pasukan terjun tidak pernah terlepas membawa pulang pingat. Ia satu cabaran buat saya kerana melihat kepada tahap latihan dan kemahiran yang masih jauh berbanding senior. Namun saya lega kerana berjaya mengekalkan kemenangan,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Berkongsi tentang cabaran yang dihadapi, penerjun muda itu mendedahkan Majlis Sukan Negara (MSN) telah memutuskan untuk mempertaruh atlet junior untuk acara papan anjal.
Baca artikel berkaitan > > > Sukan SEA: Kimberly raih emas sulung peribadi
“Ketiadaan atlet terjun senior pada Sukan SEA kali ini mendorong saya untuk berusaha dengan lebih baik,” ujarnya.
Berbekalkan semangat Sukan SEA, pelajar jurusan sains sukan Universiti Malaya (UM) itu menambah, dirinya bakal membuat persiapan untuk ke pertandingan seterusnya iaitu Kejohanan Akuatik 2023 di Fukuoka, Jepun, Julai depan.
“Pada semester kali ini, saya hanya mengambil tiga kursus sahaja dan akan memberi tumpuan kepada latihan dan membuat persiapan untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Kimberly Bong berjaya memungut 276.3 mata keseluruhan manakala rakan sepasukannya, Ong Ker Yin meraih pingat gangsa dengan memperoleh 248.70 mata. -TVS