KUCHING, 11 Mei: Kerajaan Sarawak berhasrat mendokumentasi novel Melayu terawal di dunia yang diterbitkan di Sarawak iaitu Hikayat Panglima Nikosa untuk mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mendedahkan novel yang berusia 147 tahun itu telahpun dikesan di sebuah perpustakaan di London.
“Judulnya ialah Hikayat Panglima Nikosa, mendapat kesusahan waktu perang hingga mendapat kesenangan.
“Sehingga kini, penerbitan dan beberapa usaha dokumentasi sedang dilaksanakan untuk mencalonkan naskhah ini di peringkat dunia, dalam data UNESCO,” katanya.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Produk Sarawak menonjol di Minggu Kraf London 2023 – Abang Johari
- 2. Sarawak kini miliki loji jana kuasa alga terbesar di dunia – Abang Johari
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis SAMArindok Aidilfitri anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Rabu.
Menyusuri sejarah penerbitan novel di Malaysia, Menurut Awang Tengah pengkaji banyak menjadikan novel ‘Hikayat Faridah Hanum’ sebagai novel Melayu terawal yang diterbitkan.
Namun, ujar beliau kajian pada tahun awal 2000 mendapati terdapat karya lain berbentuk novel yang diterbitkan pada tahun 1876 di Kuching, Sarawak, iaitu ‘Hikayat Panglima Nikosa’.
“Novel yang berusia 147 tahun itu dihasilkan secara cetakan litografi pada 30 Jun 1876 di Bukit Persinggahan Kampung Boyan, Kuching, Sarawak,” jelasnya.
Beliau mendedahkan pengarang novel tersebut merupakan seorang tokoh sasterawan Melayu moden dan ternama di Sarawak. -TVS