KUCHING, 11 Mei: Bermula sekadar ‘suka-suka’, sepasang suami isteri di bandar raya ini kini menjadi ‘tauke’ kek secara sepenuh masa sejak 2019.
Mengasaskan jenama Dolce By Cha, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi dan isterinya, Qeisha Qalila ketika ini tidak menang tangan untuk menyiapkan pencuci mulut yang ditempah oleh pelanggan mereka.
Mohd. Iqbal berkata, idea untuk menjalankan perniagaan bakeri itu tercetus hasil dorongan ahli keluarga dan orang ramai.
Katanya, pada mulanya dia dan isterinya hanya menerima tempahan daripada kawan-kawan rapat sahaja.
“Bagaimanapun semakin lama, pesanan kek semakin meningkat.
“Ketika bermula pada 2019, antara kek yang mendapat sambutan ialah burnt cheese cake.
“Ada kalanya, jumlah tempahan mencecah 100 loyang sehari,” katanya kepada TVS baru – baru ini.
Katanya, bermula dengan hanya empat tempahan, kek mereka semakin digemari apabila pernah menerima tempahan sebanyak 100 biji kek menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal mengakui perniagaannya turut berdepan cabaran.
“Kami pernah berhenti sekejap menjual kek kerana ketika pandemik COVID-19 sekitar tiga tahun lepas, jumlah tempahan menurun secara drastik,” katanya.
Mohd. Iqbal berkata, dia juga pernah berkelana selama tiga bulan ke Semenanjung Malaysia atas tuntutan tugas dan ketika itu perniagaan terpaksa dihentikan seketika.
“Apabila kembali menjual kek selepas pandemik, saya dan isteri berhempas-pulas untuk menaikkan semula perniagaan kami.
“Antara yang dilakukan termasuklah mempromosikan di platform digital termasuk media sosial,” ujarnya.
Tambah Mohd. Iqbal, pada masa akan datang, beliau berharap agar mampu membuka cawangan baharu Dolce By Cha. -TVS