KUCHING, 10 Mei: Seorang wanita cedera selepas ditembak dalam kejadian di Batu 37, Jalan Kuching – Serian pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintenden Polis (DSP) Ashwandy Anis berkata, mangsa yang berusia 39 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian tangan serta bahu dan dirawat di Hospital Serian.
Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun yang dipercayai menembak wanita itu yang bekerja di sebuah syarikat konkrit.
“Suspek telah ditangkap oleh orang awam dan kini ditahan di lokap Balai Polis Serian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.
Beliau memberitahu, polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. -TVS