KUCHING, 10 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan loji janakuasa Alga pertama sebagai inisiatif memperkasakan lagi agenda tenaga hijau di negeri ini.
Dikenali sebagai fasiliti pengeluaran Alga CHITOSE Penangkapan Karbon Bahagian Tengah Sarawak, ia mula dibina pada tahun 2020 telah diterajui oleh CHITOSE Group dari Jepun, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC).
Baca artikel berkaitan > > > Sarawak kini miliki loji jana kuasa alga terbesar di dunia – Abang Johari
Menurut kenyataan SEB, fasiliti berkenaan akan menggunakan gas yang dikeluarkan oleh Loji Batu Arang Sejingkat untuk penghasilan Alga yang seterusnya akan digunakan untuk menghasilkan tenaga hijau.
Teknologi ini merupakan hasil usaha Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) kumpulan CHITOSE untuk mengurangkan pelepasan karbon yang menjadi punca pemanasan global.
Manakala SBC pula akan membantu untuk menghasilkan Alga berkualiti tinggi supaya projek ini dapat menghasilkan sumber pendapatan yang tinggi bagi Sarawak secara amnya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CHITOSE Group, Dr. Tomohiro Fujita, Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi SBC, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi. – TVS