Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lemang Sushi inti daging dendeng boleh terus dinikmati begitu sahaja. Foto: Salasiah Safian (TVS)

Lemang Sushi, berinti dan inovasi bakar tanpa buluh

BySalasiah Safian

KUALA PILAH, 10 Mei: Berhasrat mencipta kelainan terhadap sajian tradisional, lemang telah mencetus ilham kepada Zuriati Sulaiman menginovasikan ‘Lemang Sushi’ sejak tahun 2017.

Menurut usahawan wanita berusia 56 tahun itu, inovasi unik berkenaan merupakan idea suaminya yang menjadikan lemang mempunyai inti selain menikmatinya dengan cara ia dicicah dengan rendang mahupun serunding.

Air tangannya dan suami, kini dapat dinikmati dengan tujuh jenis inti seperti serunding atau rendang dan termasuk inti durian D24.

 

Selain daripada inti seperti serunding dan juga rendang, Lemang Sushi turut hadir dengan inti durian D24. Foto: Salasiah Safian (TVS)

“Pada mulanya kami bakar lemang biasa terlebih dahulu selepas itu baharulah suami saya mendapat idea (menjadikannya seperti sushi) memandangkan saya mempunyai serunding dan rendang…jadi dia menghasilkan ia secara dua dalam satu (2 in 1).

“Itulah tercetusnya idea lemang sushi. Maksudnya dalam lemang tu dah siap ada intinya. Sebagai pencuci mulut kita juga memperkenalkan inti durian d24,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di kilangnya di sini pada Selasa.

Menurut Zuriati lagi, keunikan cara pembuatan lemang itu adalah ia tidak menggunakan sebarang buluh untuk membakarnya namun ia dimasak dengan sebuah ketuhar khas.

Zuriati memotong Lemang Sushi buatannya ketika ditemui media di kilangnya semalam. Foto: Salasiah Safian (TVS)

“Kaedah yang digunakan adalah lebih mudah dan tidak perlu risau mengenai lemang yang tidak masak sekata.

“Malah masa yang diambil untuk memasak lemang dengan mesin pembakar lemang ini lebih cepat berbanding kaedah biasa iaitu dari sejam setengah ke dua jam tanpa menghilangkan rasa lemang,” ujarnya.

Zuriati mendedahkan sebanyak 98 batang lemang dapat dihasilkan dalam masa sehari.

Bercerita lanjut, Zuriati berkata tempahan Lemang Sushi akan meningkat sehingga lima kali ganda setiap musim perayaan.

“Biasanya kita buat banyak pada musim perayaan,” ujarnya sambil mendedahkan dirinya memulakan perniagaan sejak tahun 2005 dengan aktif menjual serunding bilis dan snek popia.

Sementara itu, dari segi bantuan pula Zuriati memberitahu turut menerima bantuan daripada beberapa agensi dan juga jabatan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sebagainya.

Malah pada permulaan perniagaannya, Zuriati kerap menghadiri kursus-kursus berkaitan seperti Pertanian, LKIM, FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang Veterinar. Bantuan kita dapat daripada segi mesin dan pembungkusan serta bukannya secara tunai.

“Kursus tu biasa, memang banyak lah kursus, permulaan pada 2005 paling banyak tapi sekarang sudah kurang. Kerana hampir semua kursus sudah dihadiri,” luahnya.

Selain Lemang Sushi, Zuriati juga mempunyai beberapa produk lain seperti produk ‘ready to eat’ seperti Rendang Daging, Masak Lemak Daging Cili Api, Rendang Maman Daging, Rendang Ayam Cili Api, Gulai Cendawan Kukur, Asam Pedas Daging Tetel, Daging Masak Kicap Kari, Sambal Bilis Petai Nasi Lomak, dan Kuah Kacang Resepi Ibunda.

Kesemua produk ini merupakan produk asli Negeri Sembilan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan