NEW DELHI, 10 Mei: Pakistan semakin terjerumus ke dalam pergolakan politik apabila bekas perdana menteri Imran Khan ditahan polis pada Rabu dengan protes berterusan berlaku di seluruh negara.
Baca artikel berkaitan >>>>> Bekas PM Pakistan ditahan, cetus protes jalanan di seluruh negara
Berpuluh-puluh pemimpin dan anggota parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan, ditahan dalam serbuan polis di seluruh negara ketika kerajaan cuba mengawal kemarahan orang ramai terhadap penahanan pemimpin popular itu.
Mereka yang ditahan termasuk setiausaha agung PTI Asad Umar dan bekas gabenor wilayah Punjab Omar Sarfaraz Cheema.
Asad ditahan di premis Mahkamah Tinggi Islamabad.
Bekas timbalan speaker Dewan Negara Qasim Khan Suri berkata polis menyerbu rumahnya dan isterinya turut ditahan semasa protes di Islamabad pada Selasa.
Tentera Pakistan dikerahkan ke wilayah Punjab yang dihuni kira-kira separuh daripada 230 juta penduduk negara itu ekoran keadaan undang-undang dan ketenteraman yang semakin merosot, lapor saluran televisyen Pakistan.
Imran dipindahkan ke ibu pejabat Police Lines Islamabad pada pagi Rabu untuk perbicaraan kes rasuah.
Pemimpin kanan PTI mengutuk penahanan ahli politik berusia 70 tahun itu dan menyifatkannya sebagai tahanan secara haram kerana dendam politik.
Protes terbaru dianjurkan di bandar utama seperti Islamabad, Lahore, Karachi, Rawalpindi, Peshawar dan Multan.
Menurut laporan yang belum disahkan terdapat kematian dan kecederaan semasa protes dalam tempoh 24 jam lepas.
Kebangkitan semula bekas wira kriket itu dalam politik dilihat sebagai ancaman kepada kelangsungan Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang dikuasai oleh keluarga bekas presiden Asif Ali Zardari dan Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) bekas perdana menteri Nawaz Sharif.
Menteri Dalam Negeri Rana Sanaullah, yang rapat dengan keluarga Sharif, dalam satu wawancara media baru-baru ini menggelar Imran sebagai “musuh” dan mengakui cabaran politik daripada Imran sangat serius.
Parti Imran membidas kenyataan itu dan menyifatkannya sebagai “mengapi-apikan”.
Ekoran penahanan Imran, persekitaran politik Pakistan kini menjadi semakin buruk. -TVS