PUTRAJAYA, 10 Mei: Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa Jumaat ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan perlantikan tersebut menerusi satu kenyataan hari ini.
“Pelantikan Azam telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Beebi Koya.
Sebelum ini, Azam pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM selama empat tahun bermula 2016 dan selain pernah menyandang jawatan Pengarah Perisikan dan Pengarah Siasatan. -TVS