KUCHING, 9 Mei: Petinju kebangsaan, Daeloniel McDelon Bong yang tewas pada pusingan pertama kategori 54 kilogram (kg) Sukan SEA 2023 Kemboja semalam berjanji akan bangkit pada kejohanan seterusnya.
Mengakui meraih pengalaman berharga apabila bertarung dengan pemenang pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020, Carlo Paalam dari Filipina, Daeloniel berkata, dia menyedari reputasi lawannya, namun langsung tidak gentar ketika perlawanan semalam.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Kilat Boy cari rentak ke Sukan Sea Kemboja 2023
- 2. Kilat Boy Sarawak juara Tinju Perlis Golden Glove, tewaskan petinju kebangsaan
- 3. Sambut Aidilfitri di Bangkok, ‘kilat boy’ akui rindu Laksa Sarawak dan kek lapis
Daeloniel yang digelar ‘kilat boy’ berkata, dia sedaya upaya memberikan tentangan kepada lawannya itu.
“Saya sudah all out dan guna segala taktikal yang ada, cuma ada sedikit kesilapan,” katanya ketika dihubungi TVS.
Aksi di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, Phnom Penh semalam menyaksikan Daeloniel berjaya mengheret Paalam sehingga pusingan ketiga namun barisan juri memberikan kemenangan secara split decision kepada Paalam.
Sementara itu, atlet kelahiran Sri Aman, Sarawak itu berkata, kegagalan membawa pulang pingat pada penampilan kali pertama temasya dwitahunan itu telah memberikan pengajaran berguna dalam kariernya.
“Bagi kejohanan seterusnya, saya akan membuat persiapan yang lebih teliti dan mungkin ada ada perubahan aspek taktikal,” katanya.
Sementara itu, impian seorang lagi petinju negara yang juga dari Sarawak, Jackson Chambai untuk melangkah jauh turut tidak kesampaian apabila tewas kepada Natthapong Thuamcharoen dari Thailand pada pusingan pertama. -TVS.