KUALA LUMPUR, 9 Mei: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 3.1 peratus pada Mac 2023, dipacu pengembangan 4. 1 peratus dalam sektor pembuatan dan pemulihan sebanyak 0.8 peratus dalam sektor perlombongan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bagaimanapun, menurutnya indeks elektrik menyusut kepada negatif 0.3 peratus pada bulan berkenaan daripada pertumbuhan positif 1.1 peratus pada Februari 2023.
Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP kembali kepada prestasi memberangsangkan sebanyak 8.3 peratus pada Mac 2023 selepas mengalami trend penurunan untuk tiga bulan berturut-turut.
Bagaimanapun, IPP menyederhana kepada 2.8 peratus tahun ke tahun berbanding 4.0 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2022.
Menurut kenyataan itu, peningkatan 4.1 peratus dalam output sektor pembuatan disokong terutamanya oleh industri berorientasikan domestik yang menokok sebanyak 5.0 peratus (Februari 2023: 7.0 peratus)
“Peningkatan dalam industri berorientasikan domestik didorong oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler sebanyak 9.8 peratus (Februari 2023: 9.5 peratus) dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan masing-masing sebanyak 9.8 peratus (Februari 2023: 9.5 peratus) dan 5.5 peratus (Februari 2023: 8.5 peratus),” katanya.
Industri berorientasikan eksport berkembang 3.6 peratus (Februari 2023: 3.7 peratus), diterajui oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang meningkat 7.1 peratus (Februari 2023: 6.4 peratus); dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan yang melonjak 15.2 peratus berbanding 18.3 peratus pada Februari 2023.
Berbanding Februari 2023, sektor pembuatan kembali kepada momentum positif untuk merekodkan 7.8 peratus selepas mencatatkan penurunan yang berterusan sejak Disember 2022.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, indeks pembuatan dan perlombongan masing-masing meningkat sebanyak 3.4 peratus dan 2.1 peratus, manakala indeks elektrik terus menyusut kepada 1.2 peratus, katanya.
— BERNAMA