KOTA SAMARAHAN, 9 Mei: Sarawak berhasrat untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil kepada 25 peratus, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi.
Beliau berkata kadar air tidak berhasil yang tinggi terus menjadi isu berikutan masalah paip bocor yang tidak dapat dikesan yang sering berlaku.
Baca artikel berkaitan > > > Sarawak rancang wartakan 42 kawasan takungan air baharu
Katanya, Kerajaan Sarawak ketika ini tidak mempunyai koridor utiliti khas untuk menentukan kedudukan paip bocor yang menyukarkan usaha membaiki kerosakan dengan segera.
“Distribution pipe kita berselerak, ia mungkin berada di dalam hutan atau di tengah-tengah jalan raya.
“Kita tidak ada jajaran tertentu yang digunakan untuk menentukan lokasi paip,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Pejabat Baharu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Samarahan, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memberitahu, kes kecurian air turut menyumbang kepada isu kadar air tidak berhasil yang dihadapi oleh Sarawak.
“Oleh itu, bagi membendung masalah ini, inisiatif pemasangan meter air pintar diaplikasikan bagi merekod jumlah air yang digunakan oleh pengguna.
“Kita sudah pasang 40,000 meter air pintar di Serian untuk menentukan jumlah air yang digunakan dan kadarnya tepat,” tambah beliau. -TVS