KUCHING, 9 Mei: Juara baling tukul besi wanita Sukan SEA Kemboja 2023, Grace Wong merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaannya.
Menerusi hantaran di Instagram, Grace, 23, berkata, dia mendedikasikan kejayaan itu kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Ini merupakan Sukan SEA kelima saya (dan) berakhir dengan pingat emas.
“Terima kasih juga kepada jurulatih saya, Yuan Gu yang memberi sokongan tidak berbelah bagi,” katanya.
Baca artikel berkaitan >>>>>Â Sukan SEA: Atlet kelahiran Sarikei, Grace raih kejayaan berganda
Pada aksi enam pusingan di Stadium Nasional Morodok Techno semalam, Grace memecahkan rekod kejohanan apabila melakukan balingan 61.87 meter pada pusingan keempat sekali gus gagal dicabar lima peserta lain.
Pingat perak diraih peserta Thailand, Mingkamon Koomphon manakala gangsa turut menjadi milik Malaysia menerusi Nurul Hidayah Lukman.
Ini merupakan pingat emas ketiganya di pentas Sukan SEA selepas turut cemerlang pada edisi 2017 dengan meraih pingat emas dan mencipta rekod baharu kejohanan ketika itu.
Pada Sukan SEA Vietnam tahun lepas, atlet kelahiran Sarikei, Sarawak itu turut menang emas.
Menutup penghargaan, Grace turut berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM). – TVS