DEBAK, 8 Mei: Projek-projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan bermula selewat-lewatnya pada Ogos ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Katanya, BDDA kini telah mempunyai Pegawai Khas dan untuk merancang agenda pembangunan di Betong mereka akan bermesyuarat tidak lama lagi.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan penubuhan BDDA, jadi peruntukan pun telah dibahagi dan kita sudah ada Pegawai Khas, malah akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi,
“Matlamat kita adalah supaya beberapa projek dapat kita laksanakan dalam jangka yang singkat ini harapnya dalam pada bulan Ogos,” katanya ketika ditemui TVS selepas Majlis Aidilfitri anjuran Parti Pesaka Bersatu (PBB) Cawangan Saribas di sini, semalam.
Bagaimanapun, katanya, projek-projek berkenaan adalah hanya melibatkan projek yang tidak memerlukan prosedur kerja yang banyak.
“Projek-projek tersebut adalah yang tidak memerlukan prosedur kerja atau prototaip yang banyak, seperti Projek Jalan Ladang, Kebun dan sebagainya, kerana banyak juga yang memohon jalan ladang dan jawatan kuasa telah meminta kepada wakil rakyat di kawasan ini untuk mengemukakannya,
“Sehingga sekarang wakil rakyat di kawasan ini telah mengemukakan projek-projek bernilai RM100 juta untuk kawasan masing-masing,” ujarnya.
Ketika ditanya persiapan kemungkinan El-Nino yang akan melanda pada Julai nanti, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menasihatkan agar rakyat senantiasa menitik beratkan kesihatan kendiri di samping semua agensi berkaitan telah diarahkan untuk bersiap siaga.
“Memang sekarang ini cuaca kita adalah panas dan kering dan untuk itu (El-Nino) kita akan bermesyuarat tidak lama lagi, belum ada tanda atau petunjuk jelas bahawa El-Nino akan berlaku tetapi cuaca memang panas dan kering.
“Semua agensi-agensi seperti Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Bomba, Pejabat Residen dan Pejabat Pegawai Daerah semuanya telah diarahkan untuk bersiap sedia, terutamanya NREB dan JAS untuk menentukan pembakaran terbuka dapat kita halang pada setiap masa,” katanya lagi. – TVS