PHNOM PENH, 8 Mei: Atlet petanque Saiful Bahri Musmin membuktikan kredibilitinya apabila menyumbangkan pingat emas dalam acara singles lelaki pada Sukan SEA 2023 di sini semalam.
Biarpun terpaksa menjalani latihan bersendirian berikutan tuntutan tugasnya selaku kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Selangor, ia bukan penghalang bagi atlet berusia 32 tahun itu untuk menampilkan prestasi terbaik pada temasya kali ini.
Di peringkat saingan akhir yang berlangsung sengit di Kompleks Petanque Olimpik, Saiful Bahri menewaskan wakil Laos Bountamy Southammavong 13-9.
Peserta Thailand Akkrachai Meekhong dan wakil tuan rumah Sok Chanmean berkongsi pingat gangsa selepas, masing-masing tumpas di peringkat separuh akhir.
Sementara itu, Saiful Bahri berkata beliau tidak menjangkakan dapat merangkul pingat emas kerana persediaannya bagi menghadapi temasya kali ini agak singkat iaitu kira-kira sebulan.
“Saya terpaksa menjalani latihan sendiri disebabkan tugasan saya di Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Jadi kejayaan meraih emas ini memang tidak diduga,” katanya yang pernah meraih emas ketika edisi 2017 dan 2019, masing-masing dalam acara doubles dan triples lelaki.
Mengenai aksi di peringkat akhir itu, beliau bersyukur dapat menampilkan prestasi terbaik di penghujung saingan bagi menjarakkan mata sekali gus memenangi pertarungan tersebut.
Pencapaian Saiful Bahri itu sekali gus menyumbangkan pingat emas keenam buat negara pada temasya kali ini.
Sementara itu, Nur Durratul Iffah Yazit meraih gangsa selepas tewas di peringkat separuh akhir dalam acara singles wanita. – TVS