SIBU, 8 Mei: Seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti meninggal dunia disyaki mengalami simptom strok haba ketika bekerja di sebuah menara pencawang elektrik di Jalan Paradom, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenai kejadian pada jam 3.15 petang.
“Siasatan awal polis, mendapati mangsa yang merupakan warga tempatan bersama beberapa rakan sekerja ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di tempat kejadian.
“Rakan mangsa memaklumkan bahawa cuaca panas terik ketika kejadian menyebabkan mangsa nekad untuk berendam di dalam sungai berhampiran,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, mangsa mengadu seakan mahu pitam dan terus tidak sedarkan diri selepas berendam dalam sungai.
“Pasukan ambulans dari Hospital Sibu yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 4.59 petang,” katanya.
Mangsa dikenali sebagai Mohammad Sabeli, 52, berasal dari Sri Aman.
Menurut rakan mangsa, Hashimuddin Abdul Rani, mereka berdua telah memanjat menara pencawang 30 meter berkenaan untuk membersihkan sarang burung sekitar jam 12.15 tengah hari.
“Cuaca amat panas ketika itu dan kami berehat lebih kurang 15 minit, namun mangsa masih masih berasa tidak selesa badan kemudian meminta saya mengurut bahunya untuk melegakan badannya.
“Beberapa minit kemudian, dia baring dan tidak sedarkan diri selepas itu,” katanya.
Zulkipli berkata kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). -TVS