MUKAH, 8 Mei: Seorang lelaki cedera di kaki dan tangan dalam kebakaran dua buah rumah di Jalan Bougenvilla, Skim Penempatan Semula Kampung Kuala Lama di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohammad Adhar Bakar,37, cuba menyelamatkan ibu dan bapanya selepas melihat asap keluar dari kediaman berkenaan yang terletak berhampiran kediamannya.
Bagaimanapun, kedua-dua ibu dan bapanya tidak berada di kediaman itu ketika kebakaran berlaku, mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan perubatan untuk mendapat rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.53 malam dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan rumah satu tingkat jenis struktur separuh kekal terbakar hampir 90 peratus, turut terjejas rumah bersebelahan milik anaknya yang terjejas hampir 10 peratus di bahagian dinding dan siling rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba melakukan ‘ovehaul’ sehingga bara api berjaya dipadam sepenuhnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-TVS