LIMBANG, 8 Mei: Seorang warga emas masih tidak dapat menahan kesedihan apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin kuat akibat ribut di Kampung Kelapa Mawar di sini, yang berlaku Sabtu lalu.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu mengakibatkan bumbung depan rumah mangsa Teyea Salleh, 65, tercabut akibat dibadai angin kuat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, susulan kejadian itu satu laporan diterima pihaknya hari ini.
Katanya, sepasukan anggotanya terdiri empat anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Koperal (PA) Mohd Arif Midun bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 8.30 pagi.
“Rumah yang dihuni warga emas wanita bersama anaknya itu mengalami kerosakan selepas atap di bahagian depan rumah mangsa tercabut dan diterbangkan angin kuat dan hujan lebat Sabtu lepas,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Kata Mirwan, pihaknya turut membuat tinjauan dan mengambil maklumat mangsa untuk tindakan selanjutnya berhubung kejadian itu.
Kejadian atap terbang susulan angin kuat dan ribut itu turut dikongsi pengguna laman sosial Facebook di Limbang.
Kejadian yang berlaku sekelip mata hanya melibatkan kerosakan rumah dan tidak melibatkan sebarang kecederaan.- TVS