KUCHING, 7 Mei: Penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok dilihat mampu merapatkan jurang persaudaraan antara ahli-ahli PBB terutamanya ahli wanita ketika bulan Syawal ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok merangkap Ketua Cawangan PBB Satok, Datuk Ibrahim Baki, sokongan wanita dalam parti amat penting dan harus dijadikan contoh kepada cawangan-cawangan serta ranting-ranting yang lain di seluruh Sarawak.

“Sewaktu wabak pandemik COVID-19, kita dapat lihat Pergerakan Wanita PBB kita bekerja keras dengan memberi bantuan berbentuk bakul makanan dan juga ubat-ubatan kepada golongan yang memerlukan dan golongan yang positif COVID-19 di kawasan Satok.
“Saya turut memuji komitmen serta perjuangan mereka ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang lalu sehingga kita mendapat keputusan yang kita tidak dapat jangkakan. Jadi, syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Cawangan Satok 2023 di Jalan Datuk Ajibah Abol, Kuching semalam.
Turut hadir ialah isterinya Datin Noorakmar Hamdan dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Satok Salina Mohd Salleh.
Ibrahim yang juga Ketua Whip DUN GPS berkata, beliau cukup bertuah kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan pemimpin wanita terdahulu sehingga kini sejak tahun 1985 kerana berjaya melahirkan seorang tokoh pemimpin yang disegani di DUN Satok yang dipilih sebagai Ketua Menteri Sarawak pada ketika dahulu iaitu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada tahun 2017.
“Saya cukup bertuah kerana ketiga-tiga pemimpin wanita ini walaupun berbeza cara memimpin namun persamaan mereka adalah jiwa perjuangan mereka dalam memantapkan parti di kawasan Satok harus diberi pujian.
“Saya berharap dengan gandingan mantap mereka dan juga Pergerakan Muda PBB Cawangan Satok dapat mengekalkan kawasan Satok sebagai kubu kuat parti PBB kita,” ujarnya lagi.
Sebanyak 15 ranting daripada PBB Cawangan Satok meliputi kira-kira 300 ahli wanita PBB hadir memeriahkan majlis tersebut.
Pada PRN-12 lalu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan calon muka baharu, Ibrahim Baki dan berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dengan majoriti undi sebanyak 6,033 undi yang menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Nor Irwan Ahmat Nor dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Awang Badele Awang Ali.
Kerusi DUN Satok sebelum ini disandang oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selama lapan penggal sebelum memilih untuk bertanding di DUN Gedong pada PRN lepas. – TVS