BATU NIAH, 7 Mei: Mayat seorang remaja lelaki yang dikhuatiri hilang ketika mandi-manda bersama tiga rakan di Pantai Peliau, Bekenu dekat sini, petang semalam, ditemukan lemas pagi ini.
Mayat Sharizan Amani Sepawi, 17, dijumpai kira-kira 20 meter dari jarak mangsa dilaporkan hilang setelah dihanyutkan arus ombak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi (PBT II) Rary Binjie berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat pada jam 9 pagi.
“Penemuan mayat itu dimaklumkan oleh orang awam semasa pihak kami bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) melakukan taklimat sebelum memulakan operasi pencarian hari ke-2 pagi ini,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dengan penemuan mayat tersebut, operasi SAR ditamatkan pada jam 10 pagi ini.
Pada petang Sabtu, mangsa telah ditarik arus deras ombak laut ketika mandi bersama tiga rakan yang lain.
Dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi diselamatkan oleh orang kampung.
Seramai lima anggota bomba dari BBP Batu Niah terlibat dalam operasi pencarian yang turut dibantu tujuh anggota polis dari Balai Polis Bekenu, 18 (APMM), lima (APM) dan dua petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta 30 orang awam.-TVS