LONDON, 7 Mei: Tenunan Pesona Kain Songket Hybrid (MyPride) Sarawak yang dihasilkan oleh penenun MyPride Penjara Puncak Borneo Sarawak menjadi antara tarikan pada Minggu Kraf London (LCW) 2023 yang berlangsung hari ini.
Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak CENTEXS Commercial dalam akaun Facebook miliknya berkata, ia merupakan cetusan idea kreatif Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika lawatannya di Kuching pada Mac lalu.
“Bermula dari seurat benang menjadi selembar kain songket, ia memakan masa berbulan lamanya untuk disiapkan seramai 10 penenun MyPride,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam masa sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia merupakan acara yang cukup bermakna bagi industri kraf.
“Saya difahamkan lebih 700 artisan dari serata negara bakal menghadiri acara ini,” katanya selepas melakukan lawatan dan memantau persiapan akhir di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Belgrave Square di London pada Ahad.
Majlis tersebut bakal dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas menghadiri pertabalan Raja Charles III.
Acara tersebut bakal berlangsung pada sekitar jam 11 pagi bersamaan jam 8 malam waktu tempatan hingga 14 Mei 2023.
Produk kraftangan yang diketengahkan seperti tenunan songket dari Terengganu, anyaman dari kaum Mah Meri dari Selangor, songket Sarawak, keringkam dan beberapa anyaman dari kaum Penan dan pelbagai produk dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Sebanyak 14 produk kraf warisan tempatan yang dihasilkan pelbagai etnik akan ditampilkan pada LCW 2023.
Antara songket Sarawak yang bakal dipamer adalah Songket Sarawak Belatak Berikat Cuai, Songket Bertabor Berikat Loseng, Songket Sarawak Berturus Berikat Pakan dan Songket Sarawak Bertabor Pakan. – TVS