KUCHING, 7 Mei: Sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Isuzu Dmax yang telah diubah suai dan dilengkapi 5 Turbo antara tarikan program pertunjukan kereta Car Meetup and Automotive Exhibition anjuran sebuah syarikat pengurusan acara dari Sabah, Fidodido Event.
Kenderaan tersebut didatangkan khas dari Sabah menggunakan lori pengangkutan selama lebih dua hari dan tiba sekitar jam 12.30 tengah hari di lokasi acara berkenaan iaitu di tingkat tiga, tempat letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching.
Menurut pemilik kenderaan tersebut Ronnie Hiew Voon Leong, 40, yang berasal dari Penampang Sabah, beliau sanggup hadir dari jauh semata-mata untuk mempamerkan kenderaan yang didakwa pertama seumpamanya di Malaysia.
“Memang impian saya untuk keluar dan mempamerkan kenderaan ini di luar Sabah dan secara kebetulan kawan saya yang juga pemilik syarikat pengurusan acara Fidodido menjemput saya datang ke acara ini.
“Kenderaan ini telah dilengkapi 5 Turbo TD05 dan kesemua piping turbo ini dibuat khas di kedai saya.
“Selain itu, enjin dan gearboxnya juga telah di pertingkatkan melalui proses modifikasi bagi memastikan kuasanya dapat menampung struktur kenderaan tersebut” katanya lagi.
Dakwa Ronnie beliau telah menghabiskan hampir RM100,000 bagi mempersiapkan kenderaannya itu namun belum pernah menguji kenderaan tersebut menerusi pertandingan perlumbaan drag.
“Nama King Diesel ini dipilih kerana kenderaan ini menggunakan diesel dan ia juga bersempena nama syarikat saya iaitu King Diesel Sdn Bhd,” kata ahli perniagaan tersebut lagi.
Program anjuran syarikat Fidodido Event yang berasal dari Sabah pagi tadi dihadiri lebih 300 peminat kereta dan ahli kelab kereta seluruh Kuching. -TVS