NIBONG TEBAL, 7 Mei: Situasi cuaca panas yang sedang melanda negara memaksa Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan larangan mengadakan aktiviti luar bilik darjah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terhadap murid sekolah terutamanya kejadian strok haba.
Ujarnya, penangguhan itu bagaimanapun bersifat sementara dan bergantung keadaan cuaca semasa.
“Jadi kita akan terus pantau selain akan sentiasa beri pedoman garis panduan dan (mendapat) nasihat daripada kementerian (lain) berkaitan.
“Buat sementara ini kita minta tangguhkan sebentar hingga cuaca benar-benar kembali seperti sediakala dan pelajar kita boleh mengikuti pembelajaran di luar kelas dengan lebih selamat,“ katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Kampung Permatang Keling di sini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali.
Tambah Fadhlina, setakat ini tiada sekolah ditutup memandangkan keadaan masih selamat untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
“Kita berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia.
“Pengurusan berkaitan dengan garis panduan dan pemantauan ini dilakukan dengan ketat oleh KPM bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya lagi.
KPM baru-baru ini mengeluarkan pekeliling berhubung larangan sebarang aktiviti luar termasuk kokurikulum murid dan pelajar sekolah.
Sementara itu, KKM turut menasihati orang ramai tidak melakukan aktiviti luar rumah jika tiada sebarang keperluan bagi mengelak strok haba.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan langkah itu membantu mengurangkan risiko terdedah dengan haba tinggi ekoran cuaca panas yang melanda negara. -TVS