MIRI, 6 Mei: Generasi muda perlu dilatih dengan kemahiran kraftangan budaya tradisi kaum masing-masing tanpa menggunakan mesin dalam usaha mengekalkan tradisi itu diwarisi turun-temurun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berpendapat kraf yang dihasilkan menggunakan tangan lebih bernilai dan dihargai berbanding pembuatannya dari mesin.
“Jikalau anda semua tidak meneruskan kraftangan seperti ini, akhirnya generasi muda tidak pandai buat kerana hari ini mereka cuma buat pakai mesin. Tapi mesin itu lain. Yang dibuat dari mesin adalah lain dari dibuat menggunakan tangan. Kita lebih menghargai sesuatu yang dibuat dari tangan manusia dan dibuat dari kerja keras manusia. Ini mempunyai nilai berbeza dari mesin.
“Sebab itulah saya ingin menggalakkan kraftangan tradisi ini kita majukan. Jadi para wanita di sini, bawa kemahiran kraftangan kamu kepada generasi muda. Ini sesuatu yang penting. Kalau kamu hilang tradisi dan kemahiran ini, ia akan hilang selamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam Pra-Gawai Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM) di Eastwood Valley di sini, semalam.
Dalam pada itu Kim Shin turut mencadangkan penganjuran kelas kraftangan Orang Ulu bagi melatih dan mempromosikan kemahiran kraftangan kepada generasi muda terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Kraftangan ini dilihat bukan sahaja menunjukkan kekayaan budaya setiap kaum yang ada di Sarawak, tetapi juga sebagai punca pendapatan yang baik untuk para pengusahanya.
Pada majlis tersebut beliau turut memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada PWOUM untuk usaha mempromosikan skil kraftangan kepada golongan muda. – TVS