SIBU, 6 Mei: Polis menahan seorang pengedar dadah serta merampas tiga jenis dadah bernilai lebih RM73,600 di Jalan Teo Loh di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata suspek lelaki warga tempatan berusia 39 tahun terbabit diberkas oleh sepasukan polis narkotik dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di tepi jalan tersebut pada 6 petang pada Khamis lepas.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui 39 paket jus disyaki berisi campuran dadah jenis ecstacy seberat 1,384.7 gram, 53 biji pil ecstacy masing-masing berlambang Rolex dan Youtube seberat 19.40 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, turut dijumpai dalam beg berwarna hitam milik suspek ialah 12 batang rokok yang disyaki mengandungi campuran dadah jenis ganja seberat 21.60 gram serta 12 paket plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamine seberat 16.70 gram.
“Kesemua dadah tersebut seberat 1,442.4 gram dirampas polis bagi dijadikan bukti kes dengan nilai semasa keseluruhan rampasan bernilai RM73,615” katanya
Zulkipli mendedahkan sementara ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif dadah.
“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” jelasnya akta itu memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.