SADONG JAYA, 6 Mei: Pelaksanaan pembinaan laluan kedua akan menjadi nadi utama perhubungan di kawasan pesisir, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir. Aidel Lariwoo.
Katanya, langkah berani Kerajaan Negeri itu bukan sahaja memberikan akses perhubungan yang menyeluruh, malah ia turut menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan tersebut.
Menurutnya, laluan terbabit juga menjadi jalan penghubung bagi jaringan jalan pesisir sedia ada dengan laluan Lebuhraya Pan Borneo.
“Perlunya kita membuat di tengah-tengah untuk menghubungkan lagi lebih banyak penduduk di kawasan pesisir dengan kawasan di atas selain turut membuka kawasan baharu.
“Jadi jalan ini merupakan laluan yang baharu seperti di Samarahan hingga ke Gedong yang mempunyai dua laluan dua lorong. ia sepenuhnya jalan baharu dan tidak sama dengan laluan jalan pesisir sedia ada,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu berkata, apabila siap sepenuhnya, laluan terbabit akan membentuk satu lagi jajaran jalan pesisir tambahan kepada laluan jajaran jalan utama Lebuhraya Pan Borneo.
Katanya, pelaksanaan bagi pembinaan laluan bermula pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) memandangan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo kurang memberikan kesan ekonomi kepada penduduk di kawasan pesisir.
Justeru, laluan kedua diperlukan oleh Sarawak bagi menghubungkan penduduk di kawasan pesisir dengan jaringan Lebuhraya Pan Borneo.-TVS