MUKAH, 6 Mei: Peningkatan kes jangkitan wabak COVID-19 di seluruh negara ketika ini perlu mendapat perhatian serius semua pihak pihak.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengawal penularan wabak terbabit.
Malah katanya, jika perlu, mereka harus mendapatkan suntikan dos penggalak kedua sebagai langkah keselamatan.
“Kita bersyukur berpeluang meraikan sambutan Aidilfitri tanpa rasa bimbang. Ini adalah hasil daripada sikap positif rakyat yang patuh arahan kerajaan selama dua tahun.
“Bagaimanapun, suka saya mengingatkan orang ramai agar jangan alpa dan leka kerana wabak ini masih belum berakhir,” katanya pada Majlis Ramah Tamah di Kampung Belawai, semalam.
Menurut Yusuf, adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk terus mengamalkan kawalan kendiri.
Majlis yang meriah dengan kehadiran lebih 500 penduduk dari sekitar Kampung Belawai itu diserikan dengan pelbagai acara menarik.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan pemimpin masyarakat setempat. – TVS