KINARUT, 4 Mei: Kerajaan mmenerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM50 Juta bagi projek menaik taraf dan membaik pulih Institusi Pendidikan Mara (IPMA) tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan daripada jumlah tersebut sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), RM17 juta kepada Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM).
“Manakala, RM8 Juta diperuntukkan kepada Kolej Mara (KM) dan Kolej professional Mara (KPM).
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa lawatan kerja rasmi dan majlis ramah mesra di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kinarut, hari ini.
Dalam pada itu, Zahid turut berbangga MARA dan MRSM berjaya mengekalkan standard pendidikan yang baik.
“Saya turut menggesa agar semua warga MARA mempunyai mentaliti penyelenggaraan (Maintenance Mentality) serta bersama-sama menyayangi dan melindungi institusi ini,” ujarnya.
Sementara itu, sumbangan daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) disalurkan kepada kepada para pelajar MRSM dalam kalangan B40.
Untuk rekod, Sabah mempunyai seramai 701 warga kerja yang merangkumi 51 Pusat MARA terdiri daripada Pejabat Mara negeri dan Daerah, MRSM, IKM, KPM serta GiatMara.-TVS