Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pakar Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Kenaikan OPR tidak beri perubahan drastik faedah pinjaman – Pakar ekonomi

ByRegina Lee

KUCHING, 4 Mei: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada tiga peratus yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan disusuli dengan peningkatan sedikit kadar faedah berubah pinjaman.

Ketua Pakar Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang berkata demikian, menambah kenaikan faedah tidak akan dirasai peminjam yang menggunakan kadar tetap.

Menurutnya, akan berlaku sedikit peningkatan dalam pembiayaan rumah, pembiayaan peribadi serta pembiayaan berkaitan dengan perniagaan yang menggunakan kadar faedah berubah.

Ujarnya, sifat OPR itu sendiri tidak kekal dan akan berubah-ubah mengikut keadaan ekonomi semasa.

“Kita perlu memahami kenapa OPR itu berubah-ubah dan perubahan tersebut tidak drastik dan tidak kerap, ia akan berlaku sekiranya terdapat keperluan apabila ekonomi negara menghadapi ancaman seperti kemelesetan ekonomi.

Baca artikel berkaitan:

1. BNM naik kadar dasar semalaman 25 mata asas kepada 3.00 peratus
2. Kenaikan OPR: Nilai wang dalam poket rakyat akan mengecil

“Ia merupakan satu dasar monetari yang ditadbir oleh BNM bertujuan untuk memberi sokongan dan apabila terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi, sokongan tersebut akan dikurangkan dan OPR dinaikkan,” katanya ketika dihubungi TVS pada Rabu.

Sebelum ini OPR ditetapkan pada 2.75 peratus.

Dalam pada itu Dr Mohd Afzanizam berkata, rakyat harus cakna tentang isu literasi kewangan agar tidak tertanya-tanya dan merasa gusar apabila berlakunya perubahan dalam dasar kerajaan, terutamanya dasar monetari yang ditadbir oleh pihak BNM.

“Sekiranya peminjam yang mengguna pakai kadar berubah merasakan kenaikan OPR ini membebankan, maka mereka boleh berjumpa dengan pihak bank dan membuat rundingan pembiayaan semula.

“Mereka perlu cakna, perlu tahu apakah jenis pembiayaan yang mereka ambil serta implikasinya dari segi pembiayaan bulanan agar mereka boleh mentadbir kewangan peribadi mereka,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kenaikan OPR turut memberi fleksibiliti kepada pihak BNM untuk memberi respon kepada ekonomi negara sekiranya ada ancaman yang boleh menyebabkan ekonomi menjadi lembap pada masa akan datang.

Menurutnya, Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka sudah pasti dipengaruhi situasi ekonomi global seperti kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat, perang Ukraine-Russia dan kesan inflasi global. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan