KUCHING, 4 Mei: Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) akan memberi kesan besar kepada kos sara hidup isi rumah.
Pendapat Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini itu berhubung keadaan ekonomi yang masih bergelut dengan tekanan kenaikan harga barang yang berterusan sejak pandemik COVID-19 tiga tahun lepas.
Menurutnya, tidak mustahil nilai wang dalam poket isi rumah akan semakin mengecil selepas ini.
“Nilai hutang isi rumah pada ketika ini melebihi 80 peratus daripada KDNK…sifir mudahnya setiap 1,000 jumlah pendapatan diterima, 800 daripadanya diperuntukan untuk membayar komitmen hutang.
“Mengikut statistik hutang hartanah adalah penyumbang tersebar dalam keseluruhan hutang isi rumah di Malaysia,” katanya ketika dihubungi TVS pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Dzul menyatakan mengikut pandangan dasar monetari kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan demi memastikan pasaran wang dan pasaran modal negara berada pada tahap kompetetif dalam mendepani persekitaran global yang tidak menentu.
“Tambahan lagi dasar monetari Amerika Syarikat yang bertindak agresif dalam mengukuhkan nilai dolar Amerika”, kata Dr Dzul lagi.
Beliau menambah dalam jangka masa pendek pasaran domestik turut akan terjejas susulan impak daripada penurunan kuasa beli.
Menurutnya dasar ini akan memperlahankan perkembangan ekonomi domestik negara jika tidak ada tindakan susulan daripada kerajaan sebagai ‘offset’ polisi dalam membantu isi rumah lebih-lebih lagi golongan B70.
“Saya berpendapat kerajaan harus campur tangan dengan memperkenalkan polisi penstrukturan semula hutang yang lebih komprehensif dan tidak membebankan rakyat dalam masa jangka yang panjang”, ujarnya. -TVS