Menerusi hantaran di laman Instagram, Che’ Puan Besar Khaleeda bertitah baginda dan Tunku Ismail amat prihatin terhadap kes tersebut dan berpandangan ia perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak serta berharap kes seumpama itu tidak lagi berulang.
“Saya dimaklumkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 22 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi yang serius,” titah baginda.
Pada November tahun lepas, Tunku Ismail menitahkan empat peguam iaitu Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman menyertai prosiding mahkamah serta menghulurkan bantuan sewajarnya demi mendapatkan keadilan buat mangsa susulan kebimbangan masyarakat berhubung kes itu.
Terdahulu, Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara untuk pertuduhan menganiaya, namun Siti Bainun hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas hukuman itu diperintah berjalan secara serentak bermula hari ini.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. -TVS