KUCHING, 3 Mei: Seorang penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching, Asiah Mie’e, 65, berasal dari Kampung Dagang Miri, mengakui dirinya pilu setiap kali mengenangkan nasib kerana keseorangan ketika Hari Raya Aidilfitri.
Selepas kematian suaminya, Asiah yang kini mempunyai masalah penglihatan gagal mendapat sebarang pekerjaan dan seterusnya menjadi gelandangan sebelum diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan dibawa ke RSK Kuching.
Beliau ternyata pilu dan menitiskan air mata apabila ditanya sejarah hidupnya.
“Bapa saya berbangsa India, mak saya Iban. Saya tidak pernah berjumpa dengan bapa saya kerana dia meninggal sewaktu saya masih kecil lagi. Saya diberikan oleh ibu saya kepada keluarga Melayu untuk dibesarkan.
“Saya tidak ada ahli keluarga lain. Selepas suami saya meninggal, tidak ada yang menjaga saya, dan makan minum saya,” katanya sambil mengesat air mata menggunakan tudung yang dipakai ketika ditemui TVS.
Rakannya yang berkerusi roda Dayang Rosnah Awang Osman, 67 tahun pula berkongsi sebab memilih untuk secara sukarela masuk ke RSK Kuching.
“Walaupun saya dilahirkan di Kuching, saya telah berkerja di sebuah kilang dan berada di Semenanjung Malaysia sejak berumur 26 tahun sehingga usia saya 41 tahun.
“Saya dan suami telah berpisah dan selepas saya sakit, doktor menyarankan agar saya mendapat rawatan susulan hospital di Semenanjung Malaysia.
Dayang Rosnah mengakui dirinya tidak mahu menyusahkan anak lelakinya yang seringkali bekerja di luar kawasan menyebabkannya mendaftarkan diri ke RSK Kuching ketika berusia 61 tahun.
“Kemudahan di sini lengkap malah, kakitangan RSK Kuching juga melayan kami dengan baik dan membantu saya mendapat rawatan susulan di hospital.
“Setiap hari ada dibuat bacaan Al-Quran dan hari Khamis malam Jumaat kita ada buat bacaan Yasin. Selain itu terdapat juga kelas menganyam dan kelas menjahit,” katanya lagi.-TVS