MIRI, 3 Mei: Percutian sekeluarga pada Hari Pekerja bertukar tragedi setelah kanak-kanak berusia 4 tahun lemas ketika mandi di pantai Luak Esplanade pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, mangsa Gelbert Matthelus Bagah, dilaporkan lemas ketika bermain air di pantai berkenaan bersama dua orang abangnya.
Menurut Alexson, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan ketika dalam perjalanan ke Hospital Miri.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 2.44 petang, sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) telah bergegas ke lokasi dan setibanya pihak kami mendapati kanak-kanak lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Susulan itu, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Miri menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun usaha paramediks untuk menyelamatkannya gagal.
Mangsa kemudiannya kata Alexson telah dibawa ke bilik mayat Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar mengutamakan keselamatan diri serta berwaspada dengan keadaan sekeliling semasa melakukan aktiviti riadah,” tambahnya sambil mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – TVS