MUKAH, 3 Mei: Sebuah dewan masyarakat baharu akan dibina di Kampung Jerijeh, Tanjung Manis yang dijangka menelan belanja RM800,000.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kemudahan itu bukan sahaja boleh dimanfaatkan penduduk Jerijeh tetapi juga Semalau dan kawasan sekitarnya.
![](https://18.138.61.108/wp-content/uploads/2023/05/pixx-20230503-mukah-tvs-lentalif2.jpg)
Katanya, Dewan Masyarakat Jerijeh sedia ada sudah beberapa kali dibaik pulih dan kerja itu memerlukan perbelanjaan yang besar.
“Sebab itulah kita menyediakan peruntukan RM800,000 untuk membina dewan yang baharu,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Jerijeh, semalam.
Beliau memberitahu, kerajaan juga membelanjakan kira-kira RM6 juta untuk pembinaan masjid baharu kampung itu.
Rumah ibadat itu katanya, bukan sahaja berwajah moden tetapi juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
“Kita bersyukur projek ini telah siap sepenuhnya walaupun pelaksanaannya berperingkat-peringkat dan melalui pelbagai cabaran,” jelasnya.
Menyentuh lot kampung, beliau berkata, projek yang dilaksanakan di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) itu juga telah diluluskan dan kini dalam proses tender.
“Kerja menembok kawasan ini dijangka menelan kos sebanyak RM20 juta,” jelasnya.
Hadir sama Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab. -TVS