ISN dalam kenyataan hari ini menyediakan saranan dan garis panduan kepada penggiat sukan dan atlet bertujuan mengurangkan komplikasi akibat cuaca panas terik yang perlu difahami dan dilaksanakan supaya kesan utama penyakit bawaan haba seperti dehidrasi, kekejangan otot, stres haba dan strok haba dapat dielakkan.
“Semasa melakukan aktiviti sukan di persekitaran yang panas, kadar pengaliran darah dan peluh akan meningkat lebih tinggi berbanding biasa untuk membebaskan haba ke persekitaran luar. Ini akan menyebabkan bebanan kepada fisiologi badan semasa senaman yang berpanjangan.
“Persekitaran yang panas dan kelembapan yang tinggi akan mengurangkan keupayaan untuk pembebasan haba melalui radiasi/perolakan dan penyejatan. Secara umumnya, semakin tinggi kelembapan relatif, semakin kurang haba dibebaskan melalui perpeluhan,” menurut kenyataan itu.
Menurut ISN, penjagaan hidrasi juga penting untuk memastikan tubuh badan sentiasa mendapat bekalan air mencukupi menerusi strategi pengambilan air sebelum, semasa dan selepas melakukan aktiviti sukan.
“Pengambilan dua cawan (500-600ml) air dalam tempoh dua jam sebelum melakukan aktiviti manakala dua hingga tiga cawan (500-750ml) air kosong atau minuman sukan bagi setiap jam aktiviti sukan yang dijalankan selama 60 minit atau lebih.
“Pengambilan air bagi selepas aktiviti sukan pula bergantung kepada kehilangan berat badan seseorang iaitu secara purata, kehilangan satu kilogram (kg) berat badan bersamaan dengan 1.5 liter air yang perlu digantikan,” menurut kenyataan itu.
ISN turut menasihatkan penggiat sukan dan atlet supaya membuat adaptasi persekitaran haba (heat acclimatisation) selama satu hingga dua minggu untuk meningkatkan kecekapan sistem perpeluhan dan perlepasan haba, meningkatkan adaptasi biologi untuk menurunkan bebanan fisiologi dan meningkatkan kapasiti senaman.
Selain itu, penggiat sukan dan atlet digalakkan memakai pakaian bersesuaian iaitu ringan, kain fabrik diperbuat daripada kapas berkualiti yang membantu aliran udara untuk menyerap kelembapan, berwarna putih dan terang.
Bagaimanapun, kain 100 peratus kapas tidak digalakkan kerana ia akan menyerap peluh yang tidak membenarkan penyejatan haba.
Bagi penganjur acara sukan dan rekreasi, mereka perlu bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan peserta dengan menukar waktu mula berdasarkan corak cuaca persekitaran, membenarkan masa rehat atau minum lebih panjang dan mencukupi serta waktu pemulihan yang lebih panjang.
Penganjur juga harus menyediakan protokol dan kemudahan kecemasan perubatan sekiranya berlaku penyakit bawaan haba, kemudahan penyejukan seperti tempat berlindung (payung), ais, tuala basah dan kolam air serta membatalkan acara sekiranya cuaca panas di luar jangkaan dan berterusan.