KUCHING, 2 Mei: Pusat Kanser Sarawak yang bakal dibina menjelang akhir tahun ini berpotensi menjadi pusat rawatan yang canggih.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Helmy Hazmi berkata, pusat ini juga mampu menjadi pusat latihan dan sub kepakaran.
“Bagi lokasi kajian, kita (Sarawak) berpotensi menjadi penyumbang kepada rawatan terbaru yang bersifat ‘high end’ dan ‘cutting edge’,” katanya ketika dihubungi TVS pada Selasa.
Susulan kes kanser yang semakin meningkat, ia mampu memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan pelbagai modaliti rawatan dan kapasiti kepakaran yang tinggi buat rakyat.
“Dengan adanya Pusat Kanser ini, ia mampu mengurangkan beban kepada mereka (rakyat Sarawak) dari segi mengurangkan kos logistik.
“Mereka yang tinggal di luar bandar mahupun pedalaman akan mendapat rawatan yang canggih tanpa perlu pergi ke Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut dari segi ekonomi, beliau berkata, kewujudan Pusat Kanser di bawah inisiatif Kerajaan Negeri ini bakal menjadi perancak ekonomi di Sarawak.
“Ia juga mampu memberi impak yang besar kepada potensinya mampu menjadi pelancongan perubatan bagi penduduk di negara jiran Indonesia seperti Sambas, Kalimantan dan Pontianak,” ujarnya.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak bersedia membina Pusat Kanser menjelang akhir tahun ini jika Kerajaan Pusat bersetuju dengan cadangan itu.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, cadangan pembinaan Pusat Kanser terbabit amat baik dan membawa banyak manfaat serta kepentingan dalam sektor kesihatan negeri ini. – TVS