KUCHING, 2 Mei: Aktiviti berpersatuan dapat mendedahkan individu tentang kepimpinan dan pengurusan organisasi, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni.
Justeru, beliau menggalakkan penduduk di kawasannya, Dewan Undangan Negeri Demak Laut agar aktif dalam persatuan.
Menurutnya, pembabitan dalam persatuan secara tidak langsung berupaya membina masyarakat berkualiti tinggi.
“Melalui pededahan kepada aktiviti seperti ini, ia secara tidak langsung membentuk sumber manusia yang berkemahiran di kampung-kampung,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kampung Muara Tebas di sini pada Ahad.
Dr Hazland berkata lagi, mereka yang bergiat secara aktif dalam aktiviti persatuan juga terdedah dengan maklumat terkini berkaitan dasar-dasar kerajaan.
“Aktiviti berpersatuan merupakan satu medium dalam melahirkan pemimpin di peringkat akar umbi,” ujarnya. – TVS