Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta Dato Sri Fatimah Abdullah melancarkan buku "Women Practicing Resilience, Self-Care and Wellbeing in Academia: International Stories from Lived Experience". Foto: Mohd Raffiq (TVS)

Kejayaan wanita dalam bidang pendidikan meningkat

ByNazirah Adlina

KUCHING, 2 Mei: Pemerkasaan wanita dalam bidang pendidikan menunjukkan peningkatan yang ketara, kata Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Katanya, kemajuan berkenaan dilihat dari segi peluang kerjaya yang diberikan kepada golongan terbabit berbanding sebelum ini yang dilihat agak terhad.

“Saya akui pendidikan dan pemerkasaan golongan wanita seperti yang dikatakan oleh Dato Sri Fatimah dilihat semakin meningkat. Namun, kita masih menanti yang terbaik. Kejayaan golongan terbabit ketika ini juga amat ketara. Tidak mustahil jawatan-jawatan penting akan lebih banyak dipegang golongan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran buku “Women Practicing Resilience, Self-Care and Wellbeing In Academia : International Stories from Lived Experience” hari ini.

Tambahnya, selain menunjukkan prestasi yang baik dalam bidang diceburi, golongan wanita turut menunjukkan kemampuan memegang jawatan strategik dalam pentadbiran universiti.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan bidang akademik dalam melahirkan graduan yang mampu menyokong pembangunan negara.

“Profesion dalam bidang akademik adalah kritikal dalam melahirkan graduan yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta tanggungjawab sosial dari segala aspek sosial yang boleh meningkatkan taraf kehidupan seseorang dan masyarakat,” ujarnya.

Buku tersebut memfokuskan kepada bagaimana wanita dalam bidang akademik mengatasi pelbagai cabaran yang ditempuhi dalam kerjaya mereka serta menyentuh mengenai strategi praktikal untuk mengekalkan penjagaan diri dan kesejahteraan.

Sementara itu, golongan wanita disaran untuk mengutamakan penjagaan diri atau ‘self-care’, serta mementingkan kesejahteraan diri, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Hal itu katanya, adalah penting bagi memastikan kesihatan mental kekal sihat.

“Secara keseluruhannya, mengutamakan penjagaan diri dan kesejahteraan adalah penting untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan sihat. Dengan menjaga diri kita dan menjadikan kesejahteraan kita sebagai keutamaan, kita boleh mengurus hidup kita dengan lebih baik. Ini terpakai bukan sahaja untuk wanita dalam akademik tetapi juga untuk wanita yang terlibat dalam keusahawanan, badan korporat, perkhidmatan awam dan terutama sekali politik.

Menyentuh mengenai buku tersebut, Fatimah berkata, buku itu mendedahkan perjalanan golongan wanita dalam akademik bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

“Laluan untuk wanita dalam bidang akademik jarang sekali kelihatan mudah. Oleh itu, buku ini mengetengahkan perspektif dan pengalaman kerjaya wanita dalam bidang akademik. Para penyumbang turut berkongsi bagaimana pengalaman mereka dibentuk dalam pengalaman harian mereka sebagai ahli akademik,” katanya.

Women Practicing Resilience, Self-Care and Wellbeing In Academia : International Stories from Lived Experience” turut mengetengahkan perspektif golongan wanita antarabangsa dari pelbagai latar belakang  yang mana antaranya dari India, Jepun, United Kingdom, New Zealand, Kanada, Vietnam dan Afrika Selatan.  – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan