Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
TDM
Struktur gaji bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) yang tidak setara dengan syarikat swasta antara punca bukan bumiputera tidak berminat untuk menyertai pasukan keselamatan negara, kata Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman. Foto fail: Bernama

Gaji tidak setara antara faktor bukan bumiputera tidak minat sertai TDM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Mei: Struktur gaji bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) yang tidak setara dengan syarikat swasta antara punca bukan bumiputera tidak berminat untuk menyertai pasukan keselamatan negara, kata Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

Beliau berkata, perkhidmatan dalam TDM terbuka kepada semua kaum dan TDM tidak pernah menetapkan sebarang kuota untuk kaum bukan bumiputera.

“Kami menerima sesiapa sahaja kaum bukan bumiputera yang mempunyai minat dan semangat untuk menyertai keluarga besar TDM.

“Dalam tentera ini hati kena cekal kerana apabila menyertai keluarga tentera, sudah pasti akan tertakluk dengan peraturan-peraturan tentera.

“Jadi ini juga salah satu faktor yang berkemungkinan mereka (kaum bukan bumiputera) menganggap kehidupan mereka dikawal, walhal tidak dikawal sebaliknya tertakluk dengan undang-undang tentera sahaja,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri acara Perbarisan Perutusan Perintah Ulung PTD ke-29 di Dataran PTD, Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kebajikan semua warga TDM dijaga rapi tanpa mengira bangsa, agama dan umur.

“Saya percaya bahawa warga tentera yang masuk TDM semua okay dan tiada masalah, malah ada juga kaum bukan bumiputera yang menyertai TDM berpangkat tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohammad Hasan menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah menetapkan sebarang kuota kaum bagi pengambilan anggota ATM.

Beliau dilapor berkata, pengambilan dibuat dua kali setahun melibatkan pengambilan dengan jumlah 6,000 hingga 7,000 anggota.

Terdahulu, Mohammad dalam Perutusan Perintah Ulung PTD  menekankan tiga objektif utama iaitu Kesiapsiagaan, Kemampanan Organisasi dan Sahsiah Keperwiraan yang ingin dicapai melalui Sinergi 3M – Man, Machine and Method.

Selain itu, beliau turut menggariskan lima teras utama iaitu Peningkatan Kesiagaan, Pengukuhan Organisasi dan Modal Insan, Kesejahteraan Warga, Pengukuhan Hubunga Antarabangsa serta Keutuhan Hubungan Tentera dan Awam. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan