Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penggunaan teknologi baharu dalam pertanian dabai dapat membantu meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos, meningkatkan kualiti dan mewujudkan peluang baharu untuk petani.Foto: Mohammed Raffiq (TVS).

Inovasi produk berasaskan dabai, majukan sektor makanan berasaskan pertanian Sarawak

ByFebbright James

KUCHING, 1 Mei: Dasar Ekonomi Digital yang diperkenalkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diyakini berupaya membantu menjadikan Sarawak sebagai pengeksport dan pengeluar utama buah-buahan tempatan.

Hal ini diperkasa menerusi inisiatif kerajaan negeri yang melaksanakan proses pemodenan aktiviti pertanian di Sarawak, khususnya melalui penggunaan teknologi pintar dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti, selain membantu meneroka pasaran yang lebih luas.

Menurut pakar penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, UNIMAS, Dr Bernard Maringgal, terdapat beberapa alternatif yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan khususnya buah-buahan bermusim seperti dabai.

Dr Bernard Maringgal ketika ditemubual TVS. Foto: Mohammed Raffiq (TVS).

“Penggunaan teknologi dalam sektor pertanian dan penanaman buah-buahan boleh membantu meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos, meningkatkan kualiti dan mewujudkan peluang baharu untuk petani dan perniagaan.

“Untuk tanaman bermusim, teknologi boleh membantu memanjangkan musim penanaman, mengurangkan kebergantungan pada corak cuaca dan meningkatkan kemampanan dan keuntungan keseluruhan sektor penanaman buah-buahan,” katanya ketika dalam satu temubual khas bersama TVS, baru-baru ini.

Penggunaan teknologi dalam sektor pertanian dan penanaman buah-buahan mempunyai banyak faedah yang tidak dapat dinafikan, terutama bagi tanaman bermusim.

Proses mengasingkan dabai dan biji untuk dijadikan pes. Foto: Mohammed Raffiq (TVS).

“Misalnya, pertanian persis (moden) iaitu penggunaan teknologi seperti pemetaan GPS dan dron boleh membantu petani memantau tanaman mereka dan mengoptimumkan strategi penanaman, pembajaan, pengairan dan kawalan perosak.

“Seterusnya, menerusi kejuruteraan genetik dan teknik pembiakan boleh membantu membangunkan varieti tanaman baharu yang lebih tahan terhadap perosak dan penyakit, mempunyai hasil yang lebih tinggi dan lebih sesuai dengan keadaan persekitaran tertentu,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut menekankan penggunaan sains data merangkumi penggunaan teknologi seperti penderia dan peranti Internet Kebendaaan (IoT) yang boleh membantu mengumpul data tentang pertumbuhan tanaman, pendebungaan, corak cuaca dan faktor lain mempengaruhi pengeluaran buah.

Hasil analisis data ini, boleh membantu petani membuat keputusan tentang penanaman, penuaian dan aspek lain dalam operasi mereka.

Inovasi produk berasaskan dabai, majukan sektor makanan berasaskan pertanian Sarawak

Peranan universiti tempatan

Bernard turut memaklumkan, universiti-universiti di Malaysia termasuk di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), sering menjalankan penyelidikan mengenai dabai serta buah-buahan dan tanaman lain.

Katanya, penyelidikan yang dijalankan tertumpu kepada penambahbaikan teknik penanaman, pemantauan tanaman menggunakan kaedah pertanian persis, teknologi pasca tuai untuk melanjutkan tempoh hayat buah, membangunkan produk baharu, mengkaji nilai pemakanan dan manfaat kesihatan buah-buahan, dan meneroka potensi kegunaan buah-buahan dalam pelbagai industri.

Proses pemotongan keropok dabai. Foto: Mohammed Raffiq (TVS).

“Universiti juga boleh bekerjasama dengan agensi kerajaan, institusi penyelidikan, dan syarikat swasta untuk menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan buah-buahan tempatan.

“Penemuan penyelidikan ini dapat membantu meningkatkan pengeluaran, pemprosesan, dan pemasaran buah-buahan tempatan sehingga mewujudkan produk hiliran,” tambahnya.

Ujarnya, universiti boleh memanfaatkan keupayaan dan kepakaran penyelidikan mereka untuk menyokong usaha kerajaan Sarawak meningkatkan pengeluaran buah-buahan tempatan dan sehingga ia dapat mencapai tahap boleh dieksport.

Proses pengeringan keropok dabai. Foto: Mohammed Raffiq (TVS).

Perkara ini boleh dilaksanakan melalui penyelidikan, membangunkan variati baharu, mengkaji permintaan pasaran, menyediakan latihan dan pendidikan, serta kerjasama dan perkongsian, universiti boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan industri buah-buahan di Sarawak.

“Penyelidikan tentang buah-buahan tempatan seperti dabai perlu dilakukan untuk memahami kaedah penanaman, pengeluaran dan pengendalian lepas tuai yang boleh membantu mengenal pasti amalan terbaik dan membangunkan penyelesaian inovatif untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti.

“Universiti boleh membangunkan varieti buah baharu yang lebih sesuai dengan keadaan penanaman tempatan dan permintaan pasaran. Ini termasuklah membangunkan varieti tahan penyakit atau disesuaikan dengan iklim di samping mencipta varieti hibrid baharu dengan hasil, rasa dan kandungan nutrisi yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, beliau turut berpendapat universiti tempatan wajar mengkaji permintaan dan trend pasaran untuk buah-buahan tempatan di dalam dan di luar negara untuk mengenal pasti peluang baharu dan pasaran berpotensi untuk eksport.

Ini boleh membantu untuk memaklumkan dasar kerajaan dan menyokong pertumbuhan industri.

Teknik penyimpanan pes dabai menggunakan ‘Vacuum Freeze’. Foto: Mohammed Raffiq (TVS).

“Dalam pada itu, universiti boleh menawarkan program latihan dan pendidikan untuk anak muda, petani, profesional industri, dan pegawai kerajaan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam pengeluaran buah-buahan, pengendalian lepas tuai dan pengurusan eksport.

“Sebagai contoh, UNIMAS ada menawarkan program Sarjana Muda Sains Agroteknologi dengan Kepujian sebagai satu komitmen kami untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan dan kompeten dari segi teknikal dalam bidang pertanian dan disiplin yang berkaitan, selaras dengan keperluan industri tempatan dan global,” ujarnya.

 

Inovasi, produk hiliran dan pelancongan

Selain dijadikan produk hiliran, Bernard juga berpendapat buah-buahan tempatan mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai produk pelancongan.

“Salah satu cara untuk meningkatkan pasaran buah-buahan ini adalah dengan membangunkan produk baru. Contohnya, menghasilkan produk berasaskan dabai seperti snek, jem, dan aiskrim yang secara tidak langsung produk ini boleh membantu memperkenalkan buah-buahan itu ke pasaran baharu dan meningkatkan permintaan.

“Selain itu, mempromosikan buah-buahan ini melalui pelancongan juga boleh membantu meningkatkan kesedaran tentang kewujudan dan populariti buah-buahan ini,” tambahnya.

Pes dabai turut digunakan dalam sajian makanan barat. Foto: Mohammed Raffiq (TVS).

Katanya, ini boleh melibatkan mempromosikan ladang dabai sebagai destinasi pelancongan, dan menawarkan lawatan atau aktiviti yang membolehkan pelawat mempelajari tentang buah-buahan dan mencubanya dalam bentuk yang berbeza.

Secara keseluruhannya, terdapat potensi untuk meluaskan pasaran bagi buah dabai dari Sarawak dan seterusnya dengan membangunkan produk baharu, mempromosikan ciri-ciri unik mereka dan memanfaatkan peluang pelancongan.

Mengambil contoh pada 2017 sehingga 2021, anggaran jumlah pengeluaran buah-buahan tempatan seperti dabai merekodkan 5,902.3 tan metrik .

Manakala dari segi keluasan penanaman dabai merekodkan 1,947 hektar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan