KUCHING, 1 Mei: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Hari Pekerja adalah hari untuk mengingati dan menghargai sumbangan golongan pekerja.
Menurutnya, golongan pekerja banyak menyumbang ke arah memberikan khidmat terbaik demi keselesaaan dan kesejahteraan rakyat, sekali gus membantu dalam menjana ekonomi negara dan memakmurkan negara.
Baca artikel berkaitan > > > Agong, Permaisuri ucap selamat menyambut Hari Pekerja
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas dedikasi dan khidmat bakti semua pekerja baik di sektor awam, swasta, mahu pun yang bekerja sendiri.
“Terima kasih kerana telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara tercinta,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menyuntik semangat kepada mereka yang berkhidmat di sektor awam, swasta agar meneruskan semangat untuk bekerja dengan lebih baik dan penuh dedikasi demi Malaysia Madani.
“Negara kita, tanggungjawab kita. Sama-sama kita memberikan yang terbaik demi rakyat dan negara. Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja, pemimpin dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja yang ada di negara ini,” ujarnya.
Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun dan tema sambutan tahun ini ialah Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani. – TVS