GEDONG, 30 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal mengumumkan teknologi baharu yang berasaskan alga dalam tempoh dua minggu sahaja lagi.
Beliau berkata, teknologi itu nanti merupakan sebahagian daripada ekonomi baharu yang akan diwujudkan di Sarawak.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Kuala Rajang berpotensi sebagai kawasan pembiakan alga
- 2. Tenaga hijau baharu Sarawak perlu iklim yang sesuai – Abang Johari
“Tidak disangka-sangka bahawa lumut (alga) ini boleh mengeluarkan bahan yang dikehendaki oleh industri penerbangan.
“Ia bakal dikeluarkan pertamanya di Sarawak dan kita juga yang akan mula mengeluarkannya di dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong, di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru berkata, pasaran yang akan dihasilkan oleh teknologi baharu yang berdasarkan alga itu turut mempunyai nilai yang begitu tinggi.
Sebelum ini, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak telah memfokuskan penyelidikan penghasilan alga yang disasarkan siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.- TVS