BINTANGOR, 30 April: Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan penularan COVID-19 meskipun sudah divaksin, apatah lagi dengan kemunculan dan penularan varian baharu Arcturus (XBB.1.16) di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata jika mempunyai gejala seperti selesema dan demam, mereka dinasihatkan melakukan ujian kendiri.
“Jika ujian itu positif terhadap COVID-19, laporkan kepada Kementerian Kesihatan menerusi aplikasi MySejahtera dan seterusnya akan diberi arahan kuarantin untuk tempoh tertentu,” katanya.
Beliau menasihatkan demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Perdana SK Abang Amin di sini, malam tadi. Majlis itu turut dihadiri, Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.
Abdullah yang juga ADUN Semop turut berkongsi pengalaman beliau dijangkiti COVID-19 baru-baru ini.
Menurutnya, beliau menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh 19 hingga 25 April kerana dijangkiti virus berkenaan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menaikkan XBB.1.16 sebagai varian baharu yang perlu diberikan perhatian. Strain baharu itu mula dikesan pada Januari dan sejak itu telah ditemukan di lebih 30 negara termasuk di Malaysia.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan ramah tamah di Kampung Melayu Bintangor menarik kerana setiap tahun setiap zon kampung akan menyediakan pondok hidangan yang dihias kreatif.
Abdullah turut menyatakan penghargaan atas kerjasama dan keprihatinan para pemimpin kampung dan rumah panjang kerana segera menghubunginya tentang pelbagai perkara di penempatan masing-masing yang memerlukan perhatian dan tindakan.
Pada sebelah siang beliau menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Tanjung Bundong.
Dua majlis itu dihadiri penduduk Kampung Tanjung Bundong, Selemas dan Kampung Melayu Bintangor yang terdiri daripada tujuh zon kampung. Hadir sama tuai-tuai rumah dari 10 rumah panjang serta ketua-ketua kaum masyarakat Cina. – TVS