KUCHING, 30 April: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya berjaya membawa lima pendaki yang terperangkap turun dari Gunung Santubong, di sini, malam ini.
Menurut kenyataan PGO Negeri Sarawak, seramai lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya mula mendaki Gunung Santubong pada jam 9.05 malam dengan membawa stretcher dan perubatan ke lokasi.
Baca artikel berkaitan >>>>> Bomba sedang cari 5 pendaki terperangkap di Gunung Santubong
“Pihak ranger Gunung Santubong melaporkan seorang lelaki berusia 70 tahun mengalami kecederaan pada muka, badan dan lutut serta dalam keletihan,” jelas kenyataan itu.
Ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba di lokasi pada jam 9.56 malam dan membuat rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke hospital.
Terdahulu, pihak ranger telah menghubungi BBP Petra Jaya pada jam 8.30 malam untuk membantu membawa keluar lima pendaki tersebut kerana keadaan gelap, laluan yang sukar dan mangsa telah terkeluar dari laluan pendakian. – TVS