Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menerima cenderamata dari ADUN Telang Usan, Dennis Ngau. Foto: TVS.

Kampung Long Bedian berpotensi jadi produk pelancongan

MIRI, 30 April: Kampung Long Bedian dilihat mempunyai potensi untuk membangun dari aspek industri pelancongan dengan kepelbagaian budaya dan keharmonian penduduknya.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, keunikan itu yang mampu menjadi produk menarik orang luar datang mengunjungi Kampung Long Bedian.

“Saya mahu melihat Long Bedian membangun. Saya dapat melihat kawasan ini mempunyai potensi yang cukup besar sekali. Apa yang diketengahkan tadi, tarian dari Kayan, Kenyah, Kelabit dan Penan, semua ada tarikan yang tertentu. 

“Satu lagi keunikan yang perlu kita pelihara dalam kawasan seperti ini ialah keharmonian penduduk. Walaupun kita berbilang bangsa dan agama, kita dapat hidup aman damai,” katanya semasa Program Sarawak Highland Folks Music and Dance Festival Kelima di Long Bedian semalam.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama tetamu melakukan gimik penangguhan festival. Foto: TVS.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan mencadangkan untuk menjenamakan semula nama festival dengan meletakkan nama Long Bedian untuk edisi keenam akan datang sebagai langkah mempromosikan Long Bedian kepada orang luar.

Dalam pada itu tambah beliau, orang Ulu di Sarawak sememangnya dilihat kaya dengan pelbagai tradisi dan budaya yang menarik yang jarang dilihat oleh orang luar, lantas perkara itu perlu diangkat sekali gus dapat meningkatkan industri pelancongan Sarawak.

“Orang Ulu macam masyarakat lain di Sarawak, mereka kaya dengan kebudayaan. Mereka kaya dengan tradisi dan budaya. Itu adalah anugerah yang diberi oleh Tuhan kepada masyarakat Orang Ulu yang di mana saja kita pergi, dari segi tarian, kebudayaan lain dan makanan yang unik. Perkara-perkara inilah yang menarik dan mahu dilihat oleh warga luar.

“Kita dalam kawasan kampung tidak terasa kerana setiap perayaan seperti Krismas, kita lihat tarian dan makanan tertentu yang bersangkut-paut dengan masyarakat kita. Tapi bagi orang luar yang tinggal tempat lain, bagi kita inilah perkara yang menarik yang boleh diangkat untuk menjadi produk pelancongan,” tambahnya lagi.

Festival ini dijalankan selama tiga hari bermula pada 27 sehingga 29 April dalam usaha mempromosikan dan menggiatkan seni persembahan muzik tradisional Orang Ulu.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dennis Ngau, Timbalan Residen Bahagian Miri, Juan Unit dan Pemangku Pegawai Daerah Telang Usan, Ping Anyi Ngau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan