MIRI, 30 April: Persatuan-persatuan kaum dinasihatkan memberi ruang dan peluang anak-anak muda bersuara bagi menyampaikan pendapat sebagai cara memastikan persatuan mereka kekal relevan dan mengangkat martabat bangsa mereka lebih tinggi.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, pemikiran agresif anak muda seharusnya diterima jika membawa manfaat kepada persatuan dan bukannya ditolak.
“Pemikiran anak muda kadangkala boleh jadi agresif, malah idea-idea dilihat tidak dapat diterima. Itulah sebabnya ada anak muda rasa terpinggir menyebabkan mereka rasa tidak perlu masuk persatuan sebab tiada orang mahu mendengar pendapat mereka.
“Jadi kita harus beri anak-anak muda ruang dan peluang supaya pemikiran kita lebih dinamik dengan yang lama dan baharu sekali gus menghidupkan persatuan supaya dapat terus bertahan dan kekal relevan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Melayu Miri (PMM) hari ini.
Rosey turut melihat kewujudan persatuan sebagai platform masyarakat pelbagai latar belakang menyuarakan pandangan dari pelbagai sudut yang dapat melakar masa depan yang lebih baik sekali gus memajukan setiap bangsa.
Tambah beliau, anak-anak muda juga perlu diterapkan semangat perpaduan dan kesukarelawanan melalui persatuan supaya bukan sahaja mereka tidak lupa asal-usul mereka di dalam arus permodenan, tetapi juga mengangkat persatuan dengan budaya persaingan yang sihat.
Majlis juga menyaksikan penyerahan insentif kepada tujuh pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan Pelancaran Perayaan Tahun Ke-65 Penubuhan PMM.
Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Ripin Lamat dan Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang. – TVS