KUCHING, 30 April: Larian Amal Bunny Autism Run 2023 yang diadakan di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pagi tadi berjaya mengumpul dana berjumlah RM100,000 bagi membiayai operasi tahunan Pusat Latihan Pendidikan dan Vokasional Persatuan Autistik Kuching.
Jumlah tersebut termasuk tambahan sebanyak RM10,000 yang turut diterima penganjur apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menyatakan komitmen beliau untuk memberikan sumbangan tambahan kepada persatuan tersebut.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Jangan malu ada anak autisme – Billy
- 2. NASOM dan TikTok bekerjasama tingkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme
Billy yang juga mempunyai anak autisme aktif dalam larian amal anjuran pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) sejak tahun 2017.
“Selepas pembedahan jantung saya pada bulan November 2016, doktor meminta saya berlari secara sederhana untuk mengaktifkan jantung saya.
“Saya menyertai Larian Amal Autisme pertama pada tahun 2017 sejauh lima kilometer dan berterusan sehingga larian terakhir saya pada bulan March 2020 sebelum pandemik COVID-19 melanda,” katanya.
Dalam ucapan sama Billy turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan menyertai pelbagai larian amal yang dianjurkan NGO sekitar Kuching.

Larian Amal Bunny Autism Run 2023 yang berlangsung pagi tadi menyaksikan lebih 2,000 peserta larian menyertainya dengan memakai baju berwarna pink termasuk yang hadir dengan memakai pakaian beragam.
Jumlah ini tidak termasuk 70 peserta larian yang mengidap autisme terdiri dari kanak-kanak, golongan remaja dan dewasa
Selain menyambut bulan Kesedaran Autisme Sedunia yang jatuh pada bulan April, penganjuran larian amal tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme di kalangan penduduk Kuching.
Larian amal tersebut turut mendapat penajaan dari pelbagai pihak, antaranya 38 Yayasan Amal Cinta, Lee Onn Construction Sdn Bhd dan I-Metal Sdn Bhd. – TVS