BINTANGOR, 30 April: Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Sri Huang Tiong Sii memberi jaminan akan bersikap adil untuk memberikan agihan bantuan dan pembangunan untuk rakyatnya di kawasan Meradong dan Sarikei.
Ahli Parlimen Sarikei itu berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan rakyat tidak tercicir dan menikmati agihan pembangunan secara sama rata.
“Kawasan Meradong dan Sarikei sangat luas dan sudah tentu memerlukan kerangka usaha yang teliti dalam pelbagai aspek termasuk infrastruktur asas yang amat diperlukan oleh rakyat.
“Saya mengambil contoh agihan sumbangan bantuan persekolahan, apa yang sekolah di Sarikei dapat, Meradong pun akan dapat sama. Saya akan lakukannya dengan seadil-adil yang mungkin,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Selemas di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan Parti Pesaka Bumputera Bersatu (PBB) dalam membantu kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Sarikei baru-baru ini.
PBB katanya, merupakan sebuah parti politik yang memainkan peranan penting sebagai pemangkin meningkatkan kehidupan dan membela nasib kaum Bumiputera khasnya bidang politik, ekonomi dan sosial.
“Saya amat berterima kasih kepada jawatankuasa dan ahli parti PBB kerana sentiasa bersatu hati dan bergerak dalam satu pasukan. Saya sedar bahawa ia bukan tugas yang senang untuk mengekalkan sebuah parti seperti PBB melainkan dengan komitmen dan kesungguhan. Tahniah dan syabas kepada PBB.
“Kita juga perlu bersyukur kerana kita berada di bawah kepimpinan GPS yang diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Jo. Kita bersama-sama komited melaksanakan transformasi pembangunan, mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak. Semoga segala usaha kita dapat memantapkan lagi kemajuan dan kemakmuran kerajaan Sarawak. Terima kasih Abang Jo,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Dalam pada itu, beliau turut menghadiri majlis yang sama di Dewan Masyarakat Jalan Muhibbah dan Balai Raya, Skim B. – TVS